Dua atlet gimrama negara, Amy Kwan dan Koi Sie Yan, berkongsi kisah kejayaan masing-masing di pentas Sukan SEA kali ini apabila menjadi watak utama buat skuad gimrama dengan menyumbang emas buat kontinjen Malaysia.

Amy mencuri tumpuan hari ini apabila menjadi atlet yang menyumbangkan emas ke-100 buat Malaysia dalam mengejar sasaran 111 pungutan pingat emas.

Ia dianggap emas yang cukup berharga buat Amy, yang sebelum itu kerap dibayangi kehebatan rakan sepasukan, Sie Yan.

Acara terakhir dalam peralatan riben menjadi titik kejayaan buat Amy, apabila mencatat 15.750 mata untuk mengatasi Sie Yan yang sekadar berpuas hati dengan catatan 14.700 mata.

Ia pengubat kekecewaan buat Amy selepas dua tahun lalu dia berputih mata kerana tidak dapat bersama pasukan kebangsaan gara-gara dibelenggu kecederaan.

"Pingat emas ini sangat penting bagi saya kerana telah menunggu beberapa tahun untuk mendapatkannya. Saya terlepas dua edisi Sukan SEA sebelum ini," kata Amy.

Buat Sie Yan, dia mengakui kecewa kerana tidak dapat melengkapkan kejayaan emas hatriknya pada hari ini, namun dalam masa sama melahirkan kesyukuran kerana sasaran enam pingat emas dapat dilunaskan.

Secara keseluruhan, dia menyifatkan ini merupakan pencapaian terbaiknya di pentas Sukan SEA apabila merangkul empat emas dan satu perak sepanjang kejohanan.

"Sudah tentu saya berharap dapat menyumbang pingat yang ke-100 tetapi Amy yang berjaya melakukannya. Bagaimanapun, ini persembahan terbaik saya di arena Sukan SEA jika dibandingkan ketika di Singapura," kata Sie Yan.

"Saya amat menikmati persembahan saya. Terima kasih kepada semua yang datang memberikan sokongan."

Pengurus pasukan gimrama negara, Dr. Farrah Hani Imran, meluahkan perasaan gembiranya melihat gimnas negara yang berjaya meraih emas buat negara.

"Saya gembira setiap gimnas berjaya meraih emas. Penting untuk mereka membina semangat mereka kerana perjalanan mereka tidak berakhir di sini. Yang penting mereka menjadi inspirasi kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: Twitter AtletMalaysia