Gauff pemain berusia 15 tahun pertama cecah ranking ke-50 WTA

Muzaffar Musa
Februari 25, 2020 04:33 MYT
Coco Gauff menjadi pemain berusia 15 tahun pertama dalam tempoh 15 tahun mencecah ranking ke-50 Persatuan Tenis Wanita (WTA).
Pemain Amerika Syarikat (AS) itu memaparkan permulaan baik musim ini dengan melangkah ke pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Australia, di mana dia menewaskan juara bertahan, Naomi Osaka.
Kejayaan itu tiba selepas dia mula mencuri tumpuan dalam separuh kedua musim 2019 dengan mara ke pusingan 16 Kejohanan Wimbledon dan meraih gelaran Jelajah WTA pertamanya di Linz.
Gauff menamatkan musim 2018 di ranking ke-686 dunia dan melonjak ke ranking ke-68 pada penghujung tahun lalu.
Dengan mata Jelajah WTA daripada kejohanan berbeza dan penurunan prestasi pencabar lain, Gauff meningkat ke ranking ke-49 dalam kemas kini terbaru WTA -- kali pertama menyertai kelompok 50 terbaik dunia.
Pemain terakhir mencecah kelompok itu pada usia 15 tahun ialah Sesil Karatantcheva, yang berada di kedudukan itu selama seminggu pada 1 Ogos 2005.

Who's that ? flying into the Top 50 for the first time...at the age of 15? ???, @CocoGauff ! Rankings update ---> https://t.co/Y7uZu8zfhI pic.twitter.com/r286kJxvK5

— WTA (@WTA) February 24, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Gauff berpeluang meneruskan kecemerlangannya dalam Terbuka Indian Wells bulan depan.
Ia merupakan salah satu kejohanan terbesar WTA selepas kejohanan grand slam dengan status Mandatori Perdana.
Gauff akan berusia 16 tahun bulan depan dan ia bermakna, dia boleh menyertai lebih banyak kejohanan kerana sudah melepasi peringkat umur.
Jaguh Australia, Ash Barty, kekal sebagai pemain nombor satu WTA manakala Bianca Andreescu melonjak ke tangga keempat sambil pemenang Terbuka Australia, Sofia Kenin, kelima.
#WTA #Terbuka Australia #Ash Barty #Coco Gauff