Fitri bersyukur terpilih barisi Lang Merah


April 2, 2017 11:40 MYT
Pemain pertahanan Kedah, Mohd Fitri Omar, tidak menyangka mampu menjadi watak utama selepas membantu majikan barunya itu melakar kemenangan besar 6-1 ke atas PKNP FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, malam tadi.
Fitri -- yang menyertai Kedah awal musim ini -- ternyata gembira dengan sumbangannya.
Di samping berjaya membantu Kedah untuk meledak dua gol menerusi sepakan percuma, Fitri juga beraksi cemerlang membantu mengekang asakan lawan di benteng pertahanan.
Bagi pemain berusia 31 tahun ini, dia bersyukur dan berasakan perpindahan ke Kedah membuahkan hasil apabila mampu kembali mempamerkan prestasi sebenar berbanding bersama Pulau Pinang, musim lalu.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana jurulatih, Tan Cheng Hoe, memilih untuk membawa saya masuk ke Kedah pada minit-minit akhir.
"Kalau saya kekal di Pulau Pinang, mungkin dengan faktor umur, nama saya mungkin akan tenggelam. Jadi, saya amat bersyukur," jelas Fitri.
Turut melahirkan pujian adalah pengendali Kedah, Cheng Hoe, yang berasakan gol pertama Fitri pada awal permainan menerusi sepakan percuma adalah amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan Kedah sepanjang perlawanan tersebut.
"Dua gol daripada Fitri menyuntik keyakinan kepada pasukan. Ini kerana bukan mudah untuk kami menembusi gawang PKNP FC yang bermain dengan cukup berdisiplin dan bersemangat," kata Cheng Hoe.
#bola sepak #Piala FA #Kedah #Lang Merah #Tan Cheng Hoe #Mohd Fitri Omar #PKNP FC