Milwaukee Bucks menyakaman kedudukan kepada 2-2 dalam siri Final NBA selepas menewaskan Phoenix Suns 109-103 hari ini.

Suns mendahului enam mata dalam fasa akhir perlawanan itu tetapi Bucks, yang satu ketika ketinggalan 0-2 dalam siri final berkenaan -- memperoleh kemenangan menerusi 14 mata yang disumbangkan Khris Middleton dalam suku terakhir, di mana dia menamatkan perlawanan itu dengan 40 mata.

Aksi cemerlang Middleton itu turut didukung Giannis Antetokounmpo (26 mata, 14 rebound dan lapan bantuan) dan Jrue Holiday (13 mata, tujuh rebound dan tujuh bantuan).

Selepas kedudukan terikat selepas separuh masa, Devin Booker menghasilkan 18 mata dalam suku ketiga (keseluruhan 42 mata) tetapi Milwaukee memperoleh kemenangan penting itu menerusi aksi hampir sempurna dalam suku terakhir.

Seterusnya, aksi final NBA akan diteruskan dengan perlawanan kelima di Arizona, Sabtu ini.