Pelumba basikal lebuh raya berpengalaman negara, Fauzan Ahmad Lutfi, optimis prestij perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tidak akan terjejas meskipun tidak dapat dianjurkan tahun ini.

Minggu lalu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan bahawa perlumbaan elit Asia itu dibatalkan tahun ini.

Bagaimanapun, saingan itu dijangka akan dianjurkan pada Mac 2022 dan Fauzan, yang akan membuat penampilan kesembilan sekiranya menyertai perlumbaan itu, berharap pihak penganjur dapat menarik minat lebih banyak pasukan berstatus jelajah dunia.

"LTdL memang perlumbaan yang dinanti-nantikan oleh pelumba dan pasukan dari seluruh dunia," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Ia sememangnya terkenal di peringkat Asia, jadi saya yakin ia akan kekal sebagai perlumbaan yang berprestij di peringkat Asia.

"Saya harap pihak penganjur dapat mengekalkan agar lebih ramai pelumba bertaraf projelajah dan profesional dapat menyertainya.

"Sasaran saya setakat ini, secara individu, saya akan mencuba untuk menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik Asia," katanya.