Fatehah akhirnya bersuara

Penulis Jemputan
Julai 17, 2020 12:01 MYT
Selepas empat bulan mengumumkan persaraan daripada dunia berbasikal, bekas atlet berbasikal wanita negara, Fatehah Mustafa, akhirnya tampil berkongsi kisah suka dan duka.
Bertegas ia tindakan tepat namun ada sesuatu terbuku yang dijelmakan menerusi emosi di hadapan lensa kamera.
Umpama tersisih daripada keluarga sendiri, Fatehah menganggap tempoh dua tahun sebelum persaraan adalah tempoh paling sukar untuknya.
17 tahun menabur bakti, Fatehah kecewa kerana gagal menghadirkan medal Sukan Olimpik dan jersi pelangi untuk negara.
"Setelah 17 tahun dalam bidang berbasikal trek dan sudah tiba masa saya bersara dan meneruskan kehidupan," kata Fatehah kepada Nadi Arena.
Kehilangan tempat dalam skuad kendalian jurulatih negara, John Beasley, Fatehah yang sebelum ini meneruskan latihan di Velodrom Nasional menjelaskan, "Saya sudah biasa berlatih bersama pasukan di Melbourne dan selepas dua tahun saya berlatih sendiri di sini -- ia merupakan sesuatu suasana berbeza. Walaupun saya mengetahui saya masih lagi bersama pasukan tetapi saya berasakan tidak sesuai disini seorang diri tanpa pasukan."
Tambahnya lagi, "Untuk melepaskan sesuatu (karier) yang telah diusaha sekian lama amat susah.
"Mengenai keputusan untuk bersara, apa yang telah berlaku seperti di dalam mimpi. Saya sangat sayangkan sukan ini tetapi jika saya terus bersama skuad kebangsaan, ia mungkin akan memburukkan lagi nama negara.
"Saya berharap selepas ini adalah sesuatu yang baik untuk saya pada masa akan datang, mungkin saya dapat membantu negara daripada aspek kejurulatihan buat bakal pelumba berbasikal trek negara pada masa akan datang.
"Saya berharap akan ada pelumba berbasikal trek negara wanita yang lain dapat mengharumkan negara dan membutirkan pingat Sukan Olimpik buat Malaysia."