Kemampuan Faizal Saari bertindak sebagai perancang utama skuad hoki negara akan diuji dalam Siri Jelajah United Kingdom, bermula Ahad ini.

Penyerang berbisa itu bertukar ke posisi tengah sejak 11 bulan lalu menjelang pertemuan menentang Ireland, Wales dan Perancis.

"Selepas 11 bulan, saya mula belajar melakukan sesuatu yang baru dan cuba melakukan yang terbaik buat skuad kebangsaan. Daripada sudut taktikal, ia terletak kepada perancangan jurulatih," kata Faizal.

"Saya masih lagi mampu menghasilkan jaringan dan beraksi di bahagian tengah tidak menolak peluang saya untuk terus mencuri peluang mendapatkan gol."

Sementara itu, pengendali skuad kebangsaa, Arul Selvaraj, mengesahkan dua aksi menentang Ireland dan Wales diletakkan dalam kategori perlawanan ujian yang menawarkan mata ranking dunia.

Ia peluang terbaik untuk menghuni kelompok 10 ranking terbaik dunia berbanding 11 ketika ini.

"Apabila kami tiba di sana, kami akan lebih mengenali situasi di sana. Lawan kami lebih bersedia untuk turun menghadapi perlawanan kompetitif sebaliknya Malaysia yang kurang beraksi tetapi hubungan antara pemain di atas padang akan dijadikan bekalan dalam usaha mendapatkan keputusan positif di sana," kata Arul.

"Kami ke sana dalam usaha memburu mata bagi berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia."