Lewis Hamilton amat berbesar hati dengan kejayaan mengungguli Grand Prix (GP) Qatar untuk merapatkan jurang kejuaraan dengan lapan mata, tetapi Max Verstappen berbesar hati untuk diberi cabaran dalam misi memburu gelaran juara Formula Satu (F1) pertamanya.

Hamilton mengintai rekod kejuaraan kelapan tetapi berdepan tugas berat untuk mengatasi pendahulu semasa itu.

Pelumba Britain itu menggunakan kesempatan bermula di petak pertama Litar Losail, awal pagi tadi, dan Verstappen bangkit dari permulaan petak ketujuh -- berikutan penalti grid -- untuk menamatkan aksi berkenaan di tempat kedua sambil merakam pusingan terpantas walaupun dihambat Fernando Alonso.




Satu-satunya kegusaran sebenar Hamilton dalam perlumbaan itu ialah memastikan tidak mengikut jejak rakan seperjuangannya yang mengalami tayar pancit.

"Perlumbaan ini agak mudah. ​​Agak sunyi menerajui perlumbaan ini," kata Hamilton.

"Sudah tentu, saya sering menikmati perlumbaan sengit tetapi hari ini kami terdesak untuk memungut mata.

"Ia adalah satu hasil yang sangat mantap daripada pasukan ketika di hentian pit termasuk jentera ini.

"Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menonton siaran ulangan perlumbaan ini bagi melihat apa yang telah terjadi di belakang saya. Saya tidak pasti mengapa ramai yang menghadapi tayar pancit -- saya pasti ia disebabkan bebendul trek ini.

"Tetapi saya benar-benar bersyukur untuk mata ini. Ini adalah tahun yang sukar jadi untuk berada di tahap ini dan memenangi rentetan perlumbaan adalah hebat. Ia meletakkan kami dalam keadaan yang baik sempena dua aksi seterusnya."








Verstappen menambah: "Sudah tentu kedudukan kami agak terjejas akibat petak permulaan tetapi kami bernasib baik dapat membuat permulaan yang sangat baik. Dari situ, saya agak cepat merampas ke tempat kedua.

"Akhirnya, untuk melakar pusingan terpantas juga sangat bagus. Saya tahu ia akan menjadi sukar hingga ke penghujung perlumbaan tetapi saya fikir ia bagus. Ia mengekalkannya dengan keterujaan ramai."