Saluran Astro eGG Network bekerjasama dengan bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong, dalam melancarkan Kejohanan E1, satu siri perlumbaan atas talian yang menawarkan hadiah wang keseluruhan bernilai US$15,000 (RM62,270).

Dengan sasaran untuk mencari pelumba terbaik di rantau Asia Pasifik, kejohanan dengan lapan pusingan itu akan menyaksikan peserta belumba dalam RaceRoom berdasarkan litar antarabangsa yang terkenal bermula dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 18 November ini.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Alex dalam melancarkan Kejohanan E1, perlumbaan maya tempatan pertama.

"Terdapat peningkatan minat ketara dalam e-sukan permotoran dengan hampir 500,000 peminat di Malaysia menyaksikan eRacing GP SEA di eGG Network.

"Saluran kami, yang dapat ditonton di Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Australia, berpotensi untuk dicapai oleh 18 juta peminat esukan.

"Kami mencari pelumba berbakat di rantau Asia Pasifik untuk menyertai Kejohanan E1, jadi peminat dapat menyokong pemandu tempatan mereka," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.



Yoong menambah: "Sebagai sebahagian daripada kegilaan komuniti perlumbaan maya, saya benar-benar teruja untuk bekerjasama dengan eGG Network dalam melancarkan Kejohanan E1.

"Dengan hadiah keseluruhan bernilai US$15,000 dan kualiti penyiaran yang terbaik, kami menyasarkan untuk menarik minat pemandu paling berbakat untuk berlumba dan bersaing, menjadikan setiap perlumbaan maya sebagai satu pertunjukkan tentang betapa menariknya sukan permotoran."

Setiap pasukan yang berminat kini boleh mendaftarkan diri dan mendapatkan maklumat kejohanan itu di www.e1championship.com.