Selepas tertangguh hampir lima bulan, saingan Cub Prix Malaysia akhirnya bersambung dengan perlumbaan pusingan ketiga di Litar Utara Sepang hari ini.

Berlumba dalam cuaca hujan, Pasukan Honda Yuzy Idemitsu berhasil menyediakan pelarasan terbaik buat pelumba mereka, Azroy Hakeem Anuar, untuk mendahului sejak pusingan kedua biarpun memulakan perlumbaan dari petak kedua.

Rentak konsisten itu dikekalkan Azroy Hakeem untuk menjuarai perlumbaan 11 pusingan berkenaan dengan catatan masa 16:25.297s untuk berada 6.890s di depan pemenang tempat kedua daripada pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing, Mohd Izzat Zaidi Salehan.

Kasma Daniel Kasmayuddin pula muncul pemenang tempat ketiga dengan ketinggalan 26 saat di belakang Azroy Hakeem.

“Sememangnya pasukan kami mengidamkan perlumbaan basah kerana jelas pasukan kami mempunyai kelebihan dalam perlumbaan basah,” kata Azroy Hakeem seperti yang dipetik daripada laman web rasmi Cub Prix Malaysia.

Azroy Hakeem kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 45 mata disusuli oleh Mohd Izzat Zaidi di tangga kedua dengan 41 mata manakala Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga ketiga dengan 33 mata.

Perlumbaan pusingan keempat akan bersambung di venue sama esok.

*Kredit foto: Cub Prix Malaysia