Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, menasihati bekas atlet negara yang memerlukan bantuan supaya mengikut prosedur yang betul.

YAKEB ditubuhkan untuk memberi bantuan di sudut kesihatan dan perubatan.

Malah, hubungan baik dengan beberapa badan membolehkan mereka memanjangkan bantuan ke aspek lain sekiranya pemohon memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Kami berasakan (situasi) COVID-19 ini akan berpanjangan.

"Kami telah memaklumkan kepada semua bekas atlet supaya memberikan nama mereka untuk kami mengedarkan bakul rezeki bagi mereka yang terjejas.

"Kami menasihati bekas-bekas atlet ini supaya mendaftar dengan SSM ( Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan agensi-agensi lain yang berkaitan dengan perniagaan," katanya.




Menurut Noorul Ariffin lagi: "Kami ingin mendapatkan bantuan daripada Kementerian Keusahawanan (dan Koperasi) untuk mendapatkan geran buat mereka tapi bekas atlet ini perlu mengesahkan perniagaan masing-masing bagi melayakkan mereka.

"Saya war-warkan (memohon) kepada bekas atlet agar menyertai kursus kemahiran. Ada 10 kursus yang kami tawarkan malah peralatan juga disediakan.

"Sama ada mereka ingin menubuhkan syarikat mahupun kecil-kecilan. Kami galakkan."