Skuad boling tenpin negara mengambil langkah sendiri dengan melaksanakan kuarantin susulan peningkatan semula kes tempatan COVID-19 termasuk yang dikesan di venue latihan skuad kebangsaan di sebuah pusat membeli belah di ibu kota, minggu lalu.

Justeru, Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) mengarahkan kesemua atlet kebangsaan supaya mengasingkan diri selama 14 hari, bermula 27 September lalu.

"'Ia agak mengejutkan.

"Minggu lalu selepas latihan, saya terus pulang ke rumah jadi saya tidaklah begitu bimbang.

"Selepas itu Rafiq (Ismail) memaklumkan bahawa dia baru sahaja mengunjungi kedai terbabit, jadi kami akur dengan arahan MTBC yang meminta kami agar menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Saya harap ia langkah terbaik buat kami," kata pemain senior wanita negara, Sin Li Jane.