Covid-19: Piala Rogers WTA dibatalkan

Muzaffar Musa
April 11, 2020 23:41 MYT
Piala Rogers WTA tahun ini sah dibatalkan awal pagi tadi -- satu realiti yang membuktikan betapa sukan tenis memerlukan waktu yang lebih lama untuk pulih seperti sedia kala.
Kejohanan major dalam jelajah wanita sebelum Terbuka Amerika Syarikat itu dilangsungkan di Toronto tahun lalu dan dirancang untuk diadakan di Montreal pada 7 hingga 16 Ogos depan.
Bagaimanapun, acara lelaki Piala Rogers, yang akan berlangsung di Toronto tahun ini, akan tetap diteruskan pada tarikh berkenaan.
Pembatalan kejohanan di Montreal itu tidak dapat dielakkan memandangkan Kerajaan Quebec telah melarang sebarang bentuk sukan awam, acara kebudayaan dan festival bermula kelmarin hingga 31 Ogos ini berikutan pandemik Covid-19.
Montreal merupakan bandar terbesar di wilayah Quebec.
Sebelum pembatalan itu diisytiharkan, Stats Perform telah dimaklumkan oleh penganjur kejohanan berkenaan bahawa mereka berharap dapat melakukan penjadualan semula kejohanan itu pada tahun ini.
Difahamkan, satu perbincangan di antara Tenis Kanada dan WTA, yang mengelola kejohanan jelajah wanita, telah diadakan bagi membincangkan isu itu.
Bagaimanapun, penyelesaian itu menemui jalan buntu dengan jurucakap WTA berkata: "Berdasarkan daripada larangan yang ditetapkan oleh Kerajaan Quebec sehingga 31 Ogos 2020, Piala Rogers di Montreal akan ditunda ke 2021.
"WTA menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan akan sentiasa menjadi keutamaan. Kami faham ia satu keputusan yang sukar dan kami berharap dapat kembali ke Montreal pada tahun 2021."
Dengan keputusan itu, penggiliran acara lelaki dan wanita di Toronto dan Montreal setiap tahun akan terjejas memandangkan acara wanita di Montreal akan berlansung dari 6 hingga 15 April tahun depan.

Following the measures imposed by government authorities in the province of Quebec, Tennis Canada announces the postponement of the Rogers Cup in Montreal. The tournament will take place from August 6 to 15, 2021, as Montreal will host the women’s eventhttps://t.co/YH45UoEYr8

— Coupe Rogers (@CoupeRogers) April 11, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kesemua acara jelajah tenis WTA dan ATP terpaksa ditunda sehingga pertengahan Julai ini, yang turut melibatkan pembatalan Kejohanan Wimbledon dan penundaan Terbuka Perancis, yang dijangka akan diadakan pada September depan.
#WTA #Piala Rogers