Covid-19: Murray dermakan wang kemenangan daripada kejohanan maya

Muzaffar Musa
Mei 1, 2020 05:13 MYT
Andy Murray mendermakan wang kemenangan yang diperolehnya ketika memenangi kejohanan maya Terbuka Madrid Virtual Pro kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan dana bantuan pemain tenis.
Pemain British itu, yang memenangi dua kejuaraan dalam Terbuka Madrid sebenar, menewaskan David Goffin dalam final versi permainan video komputer semalam.
Murray menang 7-6 selepas mendapat laluan percuma dalam separuh akhir susulan lawannya, Diego Schwartzman, mengalami masalah sambungan.
Dia menerima wang kemenangan bernilai $45,000 (RM193,410) dan mengesahkan dalam akaun Instagram bahawa dia akan menggunakannya bagi tujuan kebajikan.
"Harap semua yang menyaksikannya terhibur pada awaktu yang sukar ini.
"Saya akan mendermakan separuh daripada wang saya menang buat NHS dan separuh lagi buat dana bantuan pemain tenis," tulisnya.
#Andy Murray #Tenis