Covid 19: MSN sekat atlet ke lima negara

Muzaffar Musa
Mac 4, 2020 11:44 MYT
Majlis Sukan Negara (MSN) menghalang sebarang pergerakan atlet kebangsaan ke lima buah negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Itali, bagi membendung wabak Covid-19.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata: "Sebarang latihan yang bukan merupakan kejohanan sasaran atau pendedahan di luar lima negara tersebut sepanjang bulan ini juga ditangguhkan atau dielakkan.
"MSN juga tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kepada program yang bukan program utama atau sasaran kepada program latihan."
Ia perancangan bagi bulan ini, di mana MSN tidak mahu sebarang kunjungan ke lima negara terlibat membawa kesan buruk kepada atlet negara.
Shapawi juga menegaskan tiada sebarang peruntukan untuk kejohanan, aksi persahabatan, kem latihan mahupun saingan jemputan akan disediakan bagi memastikan larangan sementara itu dipatuhi sepenuhnya.
Bagaimanapun, jika ia melibatkan aksi kelayakan yang menuntut keperluan kutipan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, MSN memberikan kelonggaran, namun ia memerlukan persetujuan tiga pihak, iaitu persatuan, jurulatih dan atlet itu sendiri.
"Sebarang kejohanan sasaran, khususnya yang melibatkan kelayakan atau sasaran yang memang sudah diletakkan dalam kejohanan utama, Mereka perlu berbincang dengan persatuan, atlet dan jurulatih masing-masing daripada segi kesungguhan dan persediaan mereka untuk bertanding," tambahnya.
#Majlis Sukan Negara #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #Covid-19