Covid-19: Irving derma wang, makanan

Muzaffar Musa
Mac 24, 2020 02:55 MYT
Bintang Brooklyn Nets, Kyrie Irving, menderma wang sebanyak AS$323,000 (RM1.4 juta) dan makanan sewaktu pandemik Covid-19.
Pandemik itu telah merencatkan kesemua kejohanan sukan di seluruh dunia dan menjejaskan pendapatan ramai memandangkan kebanyakan organisasi mula mengurangkan kos.
Wabak berkenaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16,490 mangsa di seluruh dunia dengan lebih daripada 540 mangsa terbunuh di Amerika Syarikat.
Irving, yang merupakan juara NBA pada 2016 dan pernah disenaraikan dalam barisan All-Star sebanyak enam kali, menerusi media sosial mengumumkan kerjasamanya bersama Feeding America -- sebuah organisasi bukan keuntungan -- dan City Harvest di Bandaraya New York.
"Terima kasih suntuk segala kasih sayang pada hari lahir saya. Saya amat berterima kasih di atas sokongan ini," tulisnya dalam satu kiriman Instagram.
"Melihat COVID-19 yang mula menjangkau orang yang kita sayang, sekolah kita, pekerjaan kita, dan akses kepada makanan, telah mmendatangkan kesan kepada saya.
"Saya teruja untuk bekerjasama dengan @feedingamerica dan @lineagelogistics untuk melancarkan kempen Share A Meal bagi membantu komuniti yang terpinggir untuk mendapatkan sumber makanan yang mereka perlukan.
"Dan untuk bekerja dengan rakan kongsi kami @cityharvestnyc bagi mengedarkan 250k makanan kepada seluruh warga di kawasan NY.
"Di samping itu, saya menyumbangkan $323k ke Feeding America dan @lineagelogistics akan menambah $200k daripada apa yang telah kami usahakan bersama.
"Saya meminta peminat, kawan, keluarga dan rakan-rakan untuk membantu saya dalam membantu masyarakat kita dengan memberikan sumbangan di pautan bio saya.
"Terima kasih kepada semua pekerja di barisan depan yang bekerja untuk memastikan kita semua selamat, sihat, dan diberi makan. Kita boleh mengubah dunia dengan satu gerakan kecil pada satu masa," katanya.
#Kyrie Irving #NBA #Covid-19