Boling Tenpin Asia: Li Jane-Esther raih gangsa

Penulis Jemputan
Oktober 24, 2019 04:35 MYT
Kem boling tenpin negara terus ceria pada hari ketiga Kejohanan Boling Tenpin Asia selepas gandingan Sin Li Jane dan Esther Cheah meraih gangsa bagi acara berpasangan wanita, semalam.
Pasangan negara itu dicabar hebat oleh gandingan Korea Selatan yang mengungguli kedudukan dua teratas menerusi Lee Na-young dan Baek Sung-ja yang meraih emas dengan catatan 2,896 jatuhan pin manakala Kim Moon-jeung dan Lee Yeonji dengan pingat perak menerusi catatan 2,753 jatuhan pin.
Li Jane-Esther terpaksa akur di kedudukan ketiga apabila sekadar mengumpul 2,744 jatuhan pin, sekali gus melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa.
Pemenang pingat acara individu wanita, Shalin Zulkifli, menerusi gandingannya bersama Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, menduduki tangga keempat dengan perbezaan hanya satu pin.
Satu lagi pasangan negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Nur Syazwani Sahar jauh ketinggalan di kedudukan ketujuh dengan 2,680 jatuhan pin.
Terdahulu, Malaysia meraih emas kedua pada hari ketiga saingan menerusi Timmy Tan dalam acara individu lelaki.