Skuad boling negara meraih emas ketujuh selepas Rafiq Ismail menewaskan pemain Thailand, Yannaphon Larpapharat, dalam peringkat akhir acara masters Sukan SEA Ke-29 di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Ia pingat emas ketiga Rafiq dalam temasya kali ini selepas turut mengungguli acara perseorangan dan beregu campuran bergandingan dengan Sin Li Jane.

Dalam perlawanan hari ini, Rafiq kelihatan selesa mengekalkan kelebihan jatuhan pin dengan menghimpun 213 sementara lawannya itu memperoleh 190.

Dalam frame kelapan, Rafiq mengatasi Yannaphon 165-154, disusuli 185-174 dan kemudian menamatkan perlawanan 213-190.

"Untuk menjadi yang terbaik, perjalanan saya masih jauh. Saya akan berusaha keras dan membuatkan Sukan SEA ini sebagai perjalanan terbaik untuk menjadi juara boling negara, Insya'allah," katanya.

Rafiq mengikut jejak langkah Shalin Zulkifli yang sebelum itu menjuarai acara masters wanita selepas menewaskan Tannya Roumimper dari Indonesia.

Selain itu, Rafiq juga meraih perak dalam acara beregu lelaki bergandingan dengan Adrian Ang.

Skuad boling negara mengulangi pencapaian tujuh emas ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC)