Setelah sekian lama menunggu, akhirnya pemenang Money In The Bank 2021 Big E memilih untuk menunaikan kontrak yang dimenanginya dua bulan lalu di acara Raw semalam dengan menewaskan penyandang juara Bobby Lashley.

Terdahulu, The All Mighty telah berhadapan dengan cabaran daripada Randy Orton di perlawanan kemuncak Raw di mana The Viper nyaris merenggut takhta kejuaraan apabila berjaya melancarkan gerakan penyudah RKO ke atas Lashley. Namun MVP menarik kaki Orton ke luar gelanggang menyebabkan penasihat Lashley itu turut menerima satu lagi gerakan penyudah berbisa itu.

Fokus Orton yang terganggu itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lashley selajur melakukan gerakan spear ke atas Orton diikuti dengan tiga kiraan pin. Seakan masih tidak berpuas hati ke atas Orton dan pasangan regunya Riddle, Lashley terus melakukan serangan sehingga berlarutan ke luar gelanggang dengan hempasan Dominator kepada Riddle di atas meja pengulas.

Namun tindakan itu membawa padah kepada Lashley apabila secara tidak sengaja telah mencederakan lututnya sendiri sehingga dilihat agak terhincut-hincut pasca serangan tersebut. Lagu tema Big E berkumandang dan muncul bersama seorang lagi pengadil menandakan yang dirinya ingin menunaikan kontrak Money In The Banknya pada saat keemasan itu.


Sebagai pemenang kontrak Money In The Bank hasil perlawanan bertangga yang melibatkan lapan orang penggusti di acara itu dua bulan lalu, Big E berhak untuk mencabar kejuaraan utama WWE pada bila-bila masa dan ketika. Melihatkan peluang sedang terbuka luas dengan Lashley yang dilihat agak lelah pasca perlawanan dengan Orton, maka ia perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Lashley pada mulanya enggan melayan cabaran Big E kerana mendakwa dirinya cedera dan tidak cukup cergas untuk bertarung. Malah berussaha mengundurkan diri dari gelanggang agar bengkung kejuaraan tetap terlilit di pinggangnya. Mujur Sonya Deville selaku wakil pihak berautoriti mengarahkan agar Lashley tidak diberi muka dan sama ada suka atau tidak, tetap perlu mendepani Big E.

Satu tamparan ke pipi Lashley berjaya membangkitkan amarah The All Mighty lantas memulakan serangan ke atas Big E. Cubaan E untuk menyerang lutut Lashley yang tercedera berjaya dikesampingkan dan Lashley berjaya melaksanakan satu rempuhan bahu. Namun ia belum cukup ampuh untuk menundukkan Big E. Tersilap langkah, Lashley akhirnya terperangkap dan terpaksa tunduk dengan satu hempasan kuat melalui gerakan penyudah Big Ending oleh bintang berusia 35 tahun itu.


Kemenangan Big E disambut dengan gegak gempita oleh penonton yang membanjiri arena dan turut diraikan oleh ahli pasukan New Day yang lain iaitu Kofi Kingston dan Xavier Woods. Sebagai Juara WWE yang baharu, Big E juga sekaligus secara rasmi diserapkan sebagai bintang di jenama Raw walaupun sebelum ini disenaraikan sebagai bintang Smackdown.

Dalam pada itu, Juara Universal WWE di Smackdown Roman Reigns turut memberikan ucapan tahniah ringkas kepada Big E dengan mengungkapkan bahawa tindakan Big E memilih Kejuaraan WWE berbanding kejuaraan miliknya sebagai pilihan yang “bijak”.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Extreme Rules pada 27 September 2021 dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.