Faizol Harun, jurulatih atlet lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, meletakkan kejohanan terakhir Grand Prix Olahraga Para di Berlin pada Jun sebagai penanda aras untuk anak buahnya itu mencapai sasaran lontaran 18 meter, sekaligus meraih kelayakan merit ke Sukan Asia 2018.

Bagi tahun ini, pelan yang ditetapkan buat Ziyad melewati jadual padat menerusi dua kejohanan IPC dan dua saingan terbuka melibatkan atlet normal.

Latihan Ziyad akan bermula pada hujung bulan ini, dengan kem latihan di Leipzig, Jerman sebagai persediaan awal sebelum kejohanan Grand Prix pertama di Dubai pada Mac.

“Kami akan memberikan masa buat Ziyad selewat-lewatnya pada Jun. Dia akan berdepan satu kejohanan pada waktu itu dan kami akan meneliti keputusannya. Jika dia berjaya melayakkan diri ke Sukan Asia, kami bersyukur dan jika tidak, segala-galanya terserah kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),” kata Faizol.

Apa yang pasti, aksi di Grand Prix Berlin pada Jun adalah peluang terakhir Ziyad untuk memastikan namanya mampu tersenarai secara merit untuk bersaing dalam Sukan Asia atau sebaliknya.

Ziyad perlu melakukan lontaran melebihi 18 meter bagi kelayakan merit ke Sukan Asia, yang pada pengamatan Faizol, bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Jika Ziyad mampu mencatat keputusan lebih daripada apa yang saya jangkakan, saya yakin dia akan berjaya melepasi jarak 18m,” ujarnya.