Bekas jaguh berbasikal trek negara, Josiah Ng, bimbang dengan generasi pengganti Datuk Azizulhhasni Awang yang masih belum konsisten di peringkat antarabangsa.

Ia berdasarkan prestasi Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis dalam Kejohanan Dunia di Perancis, hujung minggu lalu.

Realitinya, kedua-dua pelumba itu memiliki kemudahan sama seperti Azizulhasni dalam program latihan menerusi basikal WXR dan berpangkalan di Melbourne, Australia.

"Shah Firdaus kayuh seperti pelumba baru. Dia panik dan bagi saya, secara mentalitinya dia sudah pun tertewas sebelum kayuhan.

"Sejak permulaan kariernya, dia seperti kurang berkeyakinan. Kalau Azizul, dia pasti akan cuba mengalahkan pencabarnya tapi bagi Shah Firdaus, awal-awal lagi dia menganggap lawannya adalah lebih baik daripadanya.

"Shah Firdaus memang pernah menampilkan beberapa kayuhan yang hebat seperti ketika berdepan Matthew Glaetzer -- pelumba paling bodoh di dunia ekoran kesilapannya dalam Sukan Olimpik (Tokyo) apabila berlumba seperti pendatang baru.





"Untuk acara pecut, walaupun mencatatkan masa yang baik dalam kelayakan tapi fikiran Shah Firdaus mungkin masih dalam percutian," kata pemenang pingat emas keirin Sukan Komanwel 2010 itu.

Fadhil yang pernah muncul pelumba ranking pertama dunia menerusi 1km ujian masa gagal menyesuaikan diri dengan trek ekoran prosedur COVID-19 yang menghadkan penggunaan venue itu.

Shah Firdaus pula terkandas dalam pusingan pertama keirin dan kedua pecut individu walaupun beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo, Ogos lalu.