Azrul sahut cabaran penjaga gol utama

Penulis Jemputan
Oktober 31, 2018 05:05 MYT
Penjaga gol negara, Azrul Hadee Taufiq, mengakui ketiadaan Firdaus Razali memberi cabaran kepadanya untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama negara dalam Kejohanan Futsal AFF di Indonesia, bulan depan.
Susulan daripada persaraan Firdaus, Azrul dijangka menggalas tugas selaku penjaga gol utama menjelang saingan Kejohanan AFF di Indonesia, November ini.
Bagi Azrul Hadee, dia melihat situasi yang dihadapi sebagai satu amanah yang perlu dijaga dengan baik.
"Bagi saya, ini satu tanggungjawab yang besar kerana perlu memegang peranan utama di posisi penjaga gol. Saya perlu bekerja keras untuk balas kepercayaan yang diberi," katanya.
Sebelum ini, dia pernah beberapa kali mewakili Malaysia dalam kejohanan besar dan untuk saingan AFF kali ini, Azrul Hadee yakin skuad negara telah mempersiapkan diri sebaiknya sebelum ke Indonesia.
"Kami satu pasukan sudah berusaha dan berlatih serta melalui aksi persahabatan demi mencapai sasaran mara ke final. Jika ada rezeki, kami akan bawa pulang pingat emas," tambah Azrul Hadee.