Azlan cari kelebihan rapatkan jurang pendahulu

Penulis Jemputan
Disember 1, 2017 12:57 MYT
Pelumba SuperSports 600cc negara, Azlan Shah Kamaruzaman, sedikit lega apabila bakal memulakan perlumbaan dari barisan kedua setelah mencatat masa keempat terpantas dalam sesi kelayakan Pusingan 6, Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.
Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu merakamkan masa terbaik 1 minit 39.223 saat di belakang duo tuan rumah, Apiwat Wongthananon dan Chalermpol Polaimai (Yamaha Thailand Racing Team), yang akan memulakan perlumbaan di petak pertama dan kedua setelah mencatat masa terbaik 1:38.770s dan 1:38.978s.
Sementara itu, Anthony West (Akeno Speed Racing) bakal memulakan perlumbaan dari petak ketiga dengan catatan 1:39.182s.
Kedudukan ini juga memberi kelebihan buat Azlan untuk merapatkan jurang dengan kelompok pendahulu setelah pendahulu keseluruhan, Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing), sekadar bermula dari petak kelapan dengan masa terbaik 1:39.794s.
Pelumba di kedudukan kedua, Yuki Ito (Yamaha Racing) akan bermula dari petak ketujuh dan Taiga Hada (RAMA Honda by NTS T.Pro 10 Ten) akan bermula dari petak ke-10.
“Saya sebenarnya tidak memikirkan tentang gelaran keseluruhan, sebaliknya hanya fokus untuk memberikan yang terbaik sewaktu perlumbaan akhir. Jentera juga dalam keadaan terbaik, cuma beraksi di laman sendiri memberi kelebihan buat dua pelumba Thailand itu untuk bermula dari petak depan,” kata Azlan.
Tambahnya, “Saya akan cuba mengekori pelumba di depan sewaktu perlumbaan akhir nanti dan lihat jika ada peluang untuk memintas dan menamatkan perlumbaan di atas podium atau setidak-tidaknya di depan Zaqhwan dan Ito."
Dalam saingan Asia Production 250cc, Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing) terus beraksi cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:53.522s untuk memulakan perlumbaan akhir di petak pertama buat julung kalinya musim ini.
Pelumba wanita, Muklada Sarapuech (AP Honda Racing Thailand), pula mencipta kejutan apabila bakal bermula di petak kedua dengan catatan 1:54.070s, diikuti pendahulu keseluruhan, Gerry Salim (Astra Honda Racing) ketiga, 1:54.200s.
Pelumba Yuzy Honda Vietnam Racing Team, Azroy Hakeem Anuar, akan memulakan perlumbaan akhir Underbone 150cc di petak pertama dengan catatan terbaik 2:05.477s ketika sesi kelayakan Superpole, diikuti dua pelumba Indonesia, Anggi Setiawan dan Wahyu Aji Trilaksana, yang merakam masa terbaik 2:05.84s dan 2:06.480s manakala pendahulu keseluruhan, Md Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor), akan bermula dari petak ke-10.
KEPUTUSAN SESI KELAYAKAN:
SuperSports 600cc
1 Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing TEAM 1:38.770s
2 Chalermpol Polaimai (THA) Yamaha Thailand Racing Team 1:38.978s
3 Anthony West (AUS) Akeno Speed Racing 1:39.182s
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.223s
5 Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team 1:39.491s
Asia Production 250cc
1 Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.522s
2 Muklada Sarapuech (THA) AP Honda Racing Thailand 1:54.070s
3 Gerry Salim (INA) Astra Honda Racing Team 1:54.200s
4 Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 1:54.263s
5 Peerapong Luiboonpeng (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:54.350s
Underbone 150cc – Superpole
1 Azroy Hakeem Anuar (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:05.477s
2 Anggi Setiawan (INA) Yamaha Yamalube KYT TJM RACETECH Racing Team 2:05.584s
3 Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha Racing Indonesia 2:06.480s
4 Md Muzakkir Mohamed (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:06.483s
5 Nattawut Rungkigsawas (THA) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:07.385s