Bekas pelumba berbasikal trek negara yang beraksi dalam tiga Sukan Olimpik, Josiah Ng, kekal dengan pendiriannya mengenai butiran pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Josiah kekal yakin -- sukan berbasikal trek menerusi acara keirin yang diterajui Datuk Azizulhasni Awang akan muncul sebagai penyumbang, biarpun legenda sukan negara itu menjangkau usia 36 tahun ketika Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Selepas kejayaan Azizulhasni menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, ada yang berpendapat peluang realistik bagi Paris 2024 dalam acara yang berbeza seperti acara pecut atau pecut berpasukan.

Namun, bekas rakan sepelatih Azizulhasni, Josiah masih percaya atlet kelahiran Dungun, Kuala Terengganu itu masih mampu mengerah keringat dalam misi paling sukar sejarah sukan negara iaitu emas Sukan Olimpik.

"Jika saya adalah jurulatih skuad negara, saya akan kekal dengan barisan atlet sedia ada dan memberikan tumpuan kepada acara keirin," kata Josiah.

"Azizulhasni memiliki perancangan rapi dalam perlumbaannya dan ketika ini, Shah Firdaus Sahrom masih boleh meningkatkan lagi kemampuannya dalam tempoh tiga tahun sebelum Paris 2024."

Sementara itu, Josiah turut berkongsi perspektif berbeza mengenai kebarangkalian untuk kem berbasikal negara yang berguru di Melbourne, Australia sebelum ini untuk ditukar ke Nilai, Negeri Sembilan.

"Sebab sebelum ini saya mengambil keputusan untuk berpengkalan di Australia kerana ketika itu Malaysia tidak mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa dan kita sudah memilikinya. Saya berpandangan setiap atlet berbasikal trek perlu berpengkalan di Malaysia."