ATP Akhir: Federer mahu terus tingkat prestasi

Penulis Jemputan
November 13, 2017 02:19 MYT
Roger Federer berpuas hati dengan persembahannya ketika bertemu Jack Sock tetapi menjangkakan peningkatan dalam saingan ATP Akhir.
Bintang Switzerland itu membuka saingan Kumpulan Boris Becker dengan kemenangan 6-4, 7-6 (7-4) ke atas wakil Amerika Syarikat, Sock, di London.
Federer, yang melakar kemenangan ke-50 musim ini, berkata dia berpuas hati dengan prestasinya selepas kembali beraksi secara kompetitif ketika memenangi Terbuka Basel ke atas Juan Martin del Potro pada penghujung bulan lalu.
"Saya sangat gembira kerana dapat kembali beraksi hari ini dan penuh bertenaga," katanya.
"Ini merupakan prestasi terbaik sejak meraih kemenangan ke atas Del Potro. Saya sangat gembira kerana keputusan untuk berehat selepas kejohanan tersebut berhasil," ujarnya.
Kemenangan Federer menyaksikan dia memperbaiki rekod menang-kalah 50-4, menjadikan ia tahun yang cemerlang serta meraih dua gelaran Grand Slam, musim ini.
Pemain berusia 36 tahun itu menjangkakan lawannya akan memberikan yang terbaik, dengan cabaran seterusnya bertemu Alexander Zverev, esok.
"Saya berasakan setiap peserta akan memperbaiki persembahan masing-masing selepas beberapa pusingan selepas ini," ujarnya.