Ashraf idam pingat pertama 2018

Penulis Jemputan
Mei 28, 2018 08:59 MYT
Atlet ping pong lelaki negara, Muhammad Ashraf Haikal, mengidamkan pingat pertamanya pada tahun 2018 dalam Kejohanan Jemputan Chengdu, China, bulan depan yang turut menjadi persiapan awal ke Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Ogos.
Ashraf masih lagi belum meraih sebarang pingat dalam mana-mana kejohanan tahun ini apabila menamatkan saingan Sukan Komanwel Gold Coast dalam pusingan suku akhir dan separuh akhir Kejohanan Berpasukan Dunia Divisyen Tiga awal bulan ini.
Justeru, dia menginginkan tonik baru untuk mempersiapkan diri ke Sukan Asia dengan cuba meraih pingat dalam Kejohanan Jemputan Chengdu yang bakal berlangsung dari 3 hinggga 9 Jun ini.
Masih belum mengetahui sejauh mana tahap saingan di sana, Ashraf tetap ingin memberikan tentangan dengan latihan yang cukup padat ketika ini sejak pulang dari Gold Coast, pertengahan bulan lalu.
"Lawan dalam saingan ini masih belum diketahui tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik dengan membawa pulang pingat untuk negara," kata Ashraf.
Menjelang Sukan Asia, Ashraf masih belum pasti akan dikekalkan dalam skuad walaupun kedudukannya dilihat selesa untuk menggalas kedudukan pemain paling senior ke Jakarta nanti.
"Saya berasakan daripada Sukan Komanwel, prestasi kami semakin meningkat dan berharap ia dapat dikekalkan dalam Sukan Asia nanti," tambahnya.