Arul minta Faizal fokus tubuh akademi

Penulis Jemputan
Mac 1, 2020 11:45 MYT
Jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, meminta bekas penyerang hoki negara, Faizal Saari, fokus terhadap usaha menubuhkan akademi berbanding mengeluarkan komen negatif selepas digugurkan skuad kebangsaan.
Perancangan Faizal menubuhkan akademi hoki mendapat pujian bekas jurulatih negara.
Arul menganggap ini masa terbaik untuk Faizal dan beberapa pemain digugurkan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka beraksi di pentas antarabangsa.
"Mereka harus menunjukkan contoh yang terbaik. Peranan sebagai jurulatih sangat penting dan mereka harus memberikan tunjuk ajar sebaik mungkin," kata Arul.
Skuad hoki negara akan mengadakan sesi latihan pertama, esok dengan 34 pemain dijangka melaporkan diri.
Antara bakal buat penampilan sulung kem kebangsaan ialah pemain tengah UniKL, Mohd Faid Farhadh Mohd Shah, yang tersenarai antara 11 pemain baru dipanggil ketua jurulatih, Roelant Oltmans.
"Ramai pemain senior dalam skuad negara, saya masih lagi baru dan mahu menampilkan permainan yang terbaik untuk skuad kebangsaan," katanya.