Ahli gabungan MASCA kemuka petisyen undi tidak percaya terhadap presiden

Penulis Jemputan
Januari 29, 2020 05:41 MYT
Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, bersama lima ahli gabungan lain menyerahkan petisyen undi tidak percaya terhadap presiden, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) hari ini.
Tindakan itu diambil selepas barisan ahli gabungan serta exco badan induk berkenaan hilang kepercayaan terhadap Megat Shahriman dan antara sebabnya adalah transaksi akaun persatuan yang meragukan selain mempunyai tiga perlembagaan yang bercanggah.
Dalam pertemuan itu, Michael berharap pihak PJS mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi MASCA sejak pemilihan senarai nama atlet untuk ke Sukan SEA Filipina 2019.
Menurutnya lagi, atas rasa tanggungjawab kepada persatuan itu, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden jika kongres luar biasa (EGM) MASCA diadakan selepas ini.
Editor: Shaiful Shamsudin