Bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman, kecewa dengan sikap penganjur Perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2017 yang dilihat bersikap lepas tangan apabila belum membuat bayaran wang hadiah kemenangan sehingga hari ini.

Baginya, ia mengundang persoalan mengenai sikap profesional badan penganjur perlumbaan berbasikal lebuhraya di Malaysia.

Isu penganjur tidak membayar wang hadiah kemenangan bukanlah sesuatu yang baru bahkan ia sudah berlarutan sepanjang beberapa tahun ini.

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Adiq Husainie berkata: "Hadiah wang kemenangan JM 2017, sehingga tahun 2020 ini, saya masih tidak mendapat apa-apa perkhabaran atau info berkenaan pembayaran itu.

"Sudah hampir tiga tahun saya menunggu (pembayaran) tetapi masih tidak mendapat perkhabaran daripada penganjur.

"Kebiasaannya sebelum ini, paling lama pun hanya setahun diperlukan untuk menjelaskan hadiah kemenangan untuk setiap perlumbaan.

"Tetapi kali ini saya tidak faham mengapa sudah tiga tahun mereka gagal melakukan pembayaran.

"Kita semua tahu kami semua berlumba di bawah cuaca panas," katanya.

Susulan kelewatan pembayaran itu, Adiq Husainie mendedahkan bahawa barisan pelumba negara sedang merangka perancangan menubuhkan satu persatuan bagi membela nasib mereka.

"Insya-Allah, sekarang ini kami sedang merangka untuk menubuhkan persatuan pelumba bagi memperjuangkan hak kami dalam masalah seperti ini," tambahnya.