ACT 2018: Malaysia terus unggul

Bernama
Oktober 23, 2018 03:03 MYT
Malaysia memperoleh kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2018 setelah menundukkan Korea Selatan 4-2 dalam perlawanan ketiga pusingan awal di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman, tengah malam tadi.
Pasukan negara mendahului menerusi gol padang daripada Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-11 sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan melalui Yang Jihun hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-15, menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun, meletakkan Korea Selatan di hadapan pada minit ke-20, namun hanya mampu melihat Malaysia menjaringkan tiga gol lagi menerusi Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-22, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (minit ke-35) dan Faizal Saari pada minit ke-57.
Malaysia akan berhadapan dengan tugas berat apabila menentang juara Asia, India, dalam perlawanan keempat pusingan awal, tengah malam nanti.
Enam negara -– India, Jepun, Malaysia, Pakistan, Korea Selatan dan tuan rumah, Oman -- mengambil bahagian dalam kejohanan dwitahunan itu.
-- BERNAMA
Kredit imej: Malaysian Hockey Confederation