Aaliyah atlet muda terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2017

Penulis Jemputan
Februari 21, 2018 04:57 MYT
Pada usia 14 tahun, atlet cilik dalam sukan ski air ini tidak pernah mengecewakan dalam setiap penampilannya dalam kejohanan tempatan mahupun luar negara.
Kelincahan Aaliyah Yoong Hanifah yang mempamerkan aksi konsisten dalam setiap pertandingan yang disertainya sepanjang tahun 2017, membolehkannya dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik, Anugerah SAM-100PLUS 2017.
“Pada pendapat saya, beliau adalah atlet yang paling layak dinobatkan anugerah atlet muda terbaik kali ini di atas pencapaian yang sungguh memberangsangkan sepanjang tahun 2017,” kata Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Izahar Atan.
Atlet ski air remaja itu baru-baru ini berjaya menempatkan dirinya di kedudukan kedua dalam ranking dunia untuk acara tricks bagi kategori bawah 17 tahun.
Aaliyah, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017, turut menduduki tangga kelima dunia untuk kedudukan keseluruhan.
Sepanjang tahun lalu, selain tiga pingat emas dan satu perak yang diraih dalam Sukan SEA, Aaliyah turut melakar pencapaian cemerlang dalam pertandingan peringkat antarabangsa yang lain.
Antara pencapaian besarnya ialah mengungguli acara tricks dalam Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand dan juga berada di kedudukan ketiga dalam Kejuaraan Remaja Moomba Masters.
Tahun lalu, anugerah itu diberikan kepada Nur Dhabitah Sabri daripada sukan terjun, yang mempamerkan prestasi cemerlang, khususnya ketika beraksi dalam Sukan Olimpik Rio.
SAM akan sekali lagi memberikan pengiktirafan kepada seluruh warga sukan negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2017 yang akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, 1 Mac ini.
Majlis gilang-gemilang itu akan menjadi platform pengiktirafan terbaik setelah rentetan pencapaian hebat atlet-atlet negara dan pemegang taruh lain dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang tahun 2017.
Majlis anugerah berkenaan juga terus memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.