Zii jia tidak peduli dengan status pencabar pingat Olimpik

Ammar Hakim
Jun 8, 2021 11:30 MYT
44 hari menjelang Sukan Olimpik Tokyo dan komuniti badminton dunia sudah mula meramalkan siapa pencabar pingat emas perseorangan lelaki.
Nama pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia, tidak tersenarai dalam perkongsian yang tampil di media sosial Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ben Beckman, bekas perseorangan lelaki England yang sering tampil di platform media sosial BWF menyenaraikan pilihan lima pencabar pingat emas di Tokyo nanti.
Tidak menghairankan apabila senarai lima terbaik bermula dengan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.
Empat lagi pilihan Beckman turut membabitkan dua jaguh Denmark, Viktor Axelsen serta Anders Antonsen.
Chen Long yang merupakan penyandang pingat emas Olimpik dirasakan Beckman masih mempunyai pengaruh tersendiri.
Dan hanya satu pemain Asia Tenggara melengkapkan senarai tersebut, dan dia adalah Anthony Ginting.
Bagi Zii Jia, senarai seperti ini tidak buat dia melatah tetapi memiliki perspektif tersendiri.
"Saya berasakan itu perkara biasa kerana saya baru sahaja memperoleh mata dan baru sahaja memberikan impak dalam dunia badminton, saya tidak menjangkakan diri saya sebagai pilihan jadi ia merupakan berita baik kerana memudahkan saya beraksi tanpa tekanan di Tokyo nanti," kata Zii Jia.
#badminton #Lee Zii Jia #Olimpik Tokyo