Beregu lelaki negara, Aaron Chia, menjelaskan kehadiran Lee Zii Jia amat diperlukan menjelang Kejohanan Berpasukan Asia pada 15 Februari depan yang bakal menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas.

"Kalau ikutkan kehadirannya banyak membantu seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman yang lalu.

"Ini kerana pemain utama ada peluang untuk mengutip mata dan berjuang untuk perlawanan ketiga dan kelima," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menyasarkan untuk menjuarai Piala Thomas yang dijadualkan berlangsung Mei depan.




Sementara itu, BAM dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan Zii Jia sudah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan dua tahun yang dikenakan ke atasnya selepas memutuskan untuk bergerak secara profesional.

Dan memandangkan isu ini menjadi kepentingan negara, badan induk itu memberi jaminan untuk menanganinya dengan kadar segera dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.

BAM juga mengambil ambil maklum kekecewaan yang diluahkan oleh semua pihak susulan tindakan tidak mendaftarkan pemain perseorangan lelaki utama negara itu dalam mana-mana kejohanan di bawah anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun menegaskan segala tindakan itu dibuat adalah berdasarkan prosedur.

Sepanjang sejarah badan induk tersebut, setiap pemain mempunyai hak untuk membuat rayuan dan membela diri, oleh itu BAM sedia menimbangkan semula keputusan yang dibuat.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mengesahkan pemain dari Kedah itu turut membuat pertemuan dengan Datuk Seri Faizal Azumu, petang tadi, dalam satu perjumpaan tertutup di ibu negara.