Saingan perseorangan lelaki di pentas tertinggi dunia semakin sukar diramal dan Lee Zii Jia boleh mengambil iktibar jika berhasrat untuk berada dalam kalangan juara musim ini.

Itu pandangan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, dan pengamatan itu susulan kejayaan pemain perseorangan meningkat naik dari Denmark, Anders Antonsen, yang mencetus sensasi dengan menidakkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota, untuk mengungguli Masters Indonesia, semalam.

Dalam laluan dia muncul juara, Antonsen menyingkirkan Zii Jia dalam pusingan suku akhir.

"Mana-mana pemain boleh muncul pemenang dan Zii Jia boleh belajar daripada kemenangan ini," kata Misbun.

"Perkara paling penting adalah Zii Jia mempelajari corak permainan yang menewaskannya bagi meningkatkan mutu persembahannya."

Misbun juga berasakan Zii Jia perlu lebih bijak mengangani aspek psikologi dalam gelanggang dalam proses dia membentuk kematangan sebagai pemain, malah ia boleh dijadikan aset Zii Jia sendiri pada masa akan datang untuk mengawal rentak lawan.

"Saya tidak hairan apabila dengan lawan yang menewaskan Zii Jia dalam Masters Indonesia, dia merupakan pemain yang sudah lama berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia."