Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, tidak tenggelam di sebalik ujian beraksi dalam saingan Piala Thomas buat julung kalinya di Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Zii Jia selaku perseorangan kedua turun tatkala Malaysia sudah mendahului saingan 2-0 hasil aksi meyakinkan dua wakil senior -- Datuk Lee Chong Wei dan beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Bagi Zii Jia, dia bukan sahaja perlu memikul bebanan menghadiahkan pengesahan kemenangan, malah berdepan lawan, Sergey Sirant, yang memiliki kualiti tersendiri.

Tanpa penanda aras rekod pertemuan sebelum ini, Zii Jia mempamerkan kematangan untuk meraih kemenangan 21-13, 21-16.

"Semestinya wujud sedikit tekanan kerana sudah lama saya tidak menyertai sebarang kejohanan.

"Ini dikira medan untuk saya mengembalikan rentak. Lagipun, saya bermain baik tadi.

"Saya harap kami bersedia untuk aksi bertemu Denmark nanti (aksi terakhir kumpulan)," kata Zii Jia.

Jika Zii Jia mengesahkan kemenangan Malaysia, maka Iskandar Zulkarnain Zainuddin adalah individu yang memutlakkannya.

Sebagai perseorangan ketiga dan wakil terakhir, Iskandar mencari keyakinan selepas mengalami kemerosotan prestasi.

Kesempatan ini diambil penuh manfaat, apatah lagi menentang pemain yang sebenarnya adalah pakar beregu, Rodion Alimov.

Kemenangan 21-9, 21-12 Iskandar memberikan kemenangan 5-0 buat Malaysia.

"Lega dan gembira dapat menyumbangkan mata. Walaupun lawan yang ditemui merupakan pemain beregu lelaki dan campuran, saya tetap berpuas hati dengan permainan dan (keadaan) gelanggang juga di dalam keadaan selesa hari ini," kata Iskandar menjelang pertembungan dengan Algeria, esok.