Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menyatakan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, tetap komited walaupun disebut-sebut bakal meninggalkan skuad kebangsaan.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, badan peneraju negara itu mengesahkan komitmen pemain di ranking ketujuh dunia tersebut kekal menerajui barisan perseorangan negara dalam persiapan menuju Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya terus mendapatkan kepastian daripada tuan punya badan sebaik dakwaan itu tersebar.

Zii Jia kemudian memaklumkan bahawa dia tidak tahu menahu dikaitkan hasrat mengubah haluannya dan akan bergerak secara profesional.

"Pada mulanya saya sendiri terkejut apabila membaca berita itu.

"Zii Jia telah menafikan bahawa dia akan keluar BAM. Fokusnya masih lagi untuk mencapai misi dalam (temasya) Paris 2024.

"Dia masih dalam Projek 2024," kata Kenny.






Status juara Seluruh England 2021 itu hangat diperkatakan seluruh peminat termasuk bekas bintang negara, Datuk Rashid Sidek.

Rashid sebaliknya menuntut pemain Kedah berusia 23 tahun itu agar lebih menumpukan perhatiannya untuk menghadapi cabaran tahun depan.

"Kalau buat masa sekarang, tidak wajar (untuk dia angkat kaki).

"BAM telah berikan keutamaan kepadanya, dia adalah pilihan utama, apa yang dia hendak semua dibagi -- daripada segi latihan dan kejohanan.

"Tidak timbul masalah untuk dia jadi pemain profesional.

"Dia perlu lebih fikirkan tentang perbaiki tahap kelemahannya selain mental dan fizikalnya untuk menghadapi kejohanan besar,' katanya.