Lee Zii Jia akan mengetuai skuad muda negara dalam saingan Piala Sudirman dan Piala Thomas, demikian diumumkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebentar tadi.

Zii Jia, 23, akan turut dibantu dua lagi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong (21 tahun) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (21) menjelang saingan Piala Sudirman di Vantaa, Finland bermula 26 September ini.

Empat pemain beregu lelaki turut terpilih iaitu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, S. Kisona, akan menjadi tunjang bahagian perseorangan wanita dan akan dibantu pemain muda, K. Letshanaa, sambil gandingan Pearly Tan dan M. Thinaah akan membawa cabaran beregu wanita.

Sebagai rekod, pemain beregu campuran, Cheah Yee See, 26, merupakan ahli tertua dalam pasukan berkenaan, yang dibarisi 18 pemain dengan purata umur 22.38 tahun.

Berselang seminggu selepas Piala Sudirman, Zii Jia akan kembali mengetuai skuad lelaki negara dalam Piala Thomas di Aarhus Denmark.

Juara Kejohanan Seluruh England itu akan dibantu empat lagi perseorangan lelaki negara, iaitu Tze yong, Aidil Sholeh, Cheam Jun Wei dan Leong Jun Hao.

Di bahagian beregu lelaki pula, Malaysia menyenaraikan gandingan, Aaron-Wooi Yik ,Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan tiga pemain lain, iaitu Man Wei Chong, Tee Wai Kun dan Low Hang Yee.

June Wei, Aaron, Sze Fei, Izzudin dan Hang Yee -- kesemuanya berusia 24 tahun -- merupakan pemain paling senior dalam skuad Piala Thomas kali ini dengan purata umur keseluruhan, 22.75 tahun.

Sementara itu, skuad Piala Uber negara akan diketuai pemain beregu berusia 27 tahun, Lee Meng Yean, sambil pemain perseorangan, Siti Nurshuhaini Azman, menjadi ahli termuda pada usia 17 tahun.