Pengendali skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng, menyifatkan tahap kecergasan yang kurang memberangsangkan sebagai faktor wakil negara tidak mencapai sasaran dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Suzhou, Julai lalu.

Ini merupakan kali pertama Malaysia gagal ke suku akhir acara berpasukan sejak kejohanan itu mula diperkenalkan pada 2006 apabila tewas kepada Indonesia 0-5 dan Jepun 2-3.

Dalam acara individu pula, hanya wakil beregu lelaki dan beregu campuran yang berjaya melayakkan diri ke peringat suku akhir sebelum tewas kepada lawan masing-masing.

Bagi Yoke Meng, pemain tidak mempamerkan aksi yang baik, malah bermain di bawah tahap prestasi sebenar.

"Paling terdesak adalah kecergasan. Daripada segi taktikal dan teknik, mereka masih kurang. Saya meletakkan harapan buat pemain lebih senior. Persembahan mereka hanya biasa dan bukan di luar jangkaan," katanya.

Sementara itu, Yoke Meng turut menyasarkan keputusan lebih positif dalam Kejohanan Remaja Antarabangsa India yang akan berlangsung 29 Ogos ini.

"Saingan di India penting buat pemain muda dapatkan mata. Sasaran juga adalah mendapatkan ranking lebih baik. Buat pemain berusia 18 tahun, sekurang-kurangnya mereka perlu ke separuh akhir dalam kejohanan ini."