Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memperkasakan bahagian perseorangan lelaki apabila mengumumkan pelantikan K. Yogendran yang berkuat-kuasa Rabu depan.

Hendrawan ketika ini memberi fokus dalam kempen di Indonesia sementara Datuk Tey Seu Bock membawa cabaran anak buahnya dalam Terbuka Scotland.

"Saya akan bermula dengan pemain pelapis dulu. Tugas utama saya ialah merapatkan jurang di antara pemain senior dan pelapis.

"Mungkin selepas Hendrawan dan Seu Bock balik baru ada perancangan yang lebih terperinci," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Dia memilki akademi sendiri malah pernah bertindak sebagai ketua jurulatih Mauritius selama empat tahun, tetapi pengalaman selepas 15 tahun meninggalkan kem kebangsaan tidak mahu disia-siakan dalam misi mengharumkan nama Malaysia.

"Tawaran ini diterima sebaik kontrak saya di Mauritius habis.

"Kontrak saya di sana hingga kempen Sukan Olimpik Tokyo dan ketika ini mereka tidak mempunyai peruntukan untuk memperbaharui kontrak saya.

"Mereka cakap saya perlu menunggu hingga tahun depan dan kebetulan pula BAM menawarkan kontrak.

""Saya ingin berbudi kepada negara," katanya lagi.




Baginya, tiada istilah pertembungan tugasan apabila melibatkan ramai jurulatih di kem yang berpusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelak sebaliknya akan merangsang senario badminton negara.

"Setiap jurulatih ada kelebihan masing-masing.

"Lebih ramai jurulatih dalam BAM akan menawarkan kelebihan sebab kami boleh memberi lebih tumpuan kepada pemain.

"Langkah ini akan meningkatkan prestasi di bahagian perseorangan negara."