Pemain beregu lelaki badminton negara, Soh Wooi Yik, tiada masalah seandainya Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk meluluskan perubahan format kiraan mata kepada format 11 mata lima set dalam mesyuarat agungnya yang ke-82 esok.

Selain Indonesia dan Maldives -- yang mengusulkan cadangan perubahan format kiraan mata itu bulan lalu -- beberapa ahli gabungan lain juga sudah menyatakan persetujuan, antaranya Taiwan, Badminton Asia dan Badminton Eropah.

Jika mendapat sokongan majoriti 194 ahli gabungan, format itu akan diuji selepas Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini dan hanya melibatkan saingan peringkat bawahan.

Bagi Wooi Yik, format baru itu lebih dekat dengan personalitinya bersama gandingannya, Aaron Chia, sewaktu di atas gelanggang.

"Bagi saya ia ada kebaikan dan keburukan buat pemain muda seperti kami," katanya kepada Nadi Arena.

"Daripada segi fizikal, saya pernah bermain dengan format seperti ini dalam Purple League, jadi permainan memang amat cepat, memang tidak memerlukan kekuatan fizikal yang banyak melainkan pemikiran dan pengalaman.

"Jika bertemu lawan yang lebih berpengalaman, memang mereka akan cepat mendapatkan mata dalam tiga pukulan pertama.

"Memang memerlukan masa tetapi cara permainan kami mungkin boleh disesuaikan dengan format ini.

"Kerana cara permainan kami sememangnya menginginkan mata dengan cepat dan tidak banyak rali.

"Kami lebih banyak menyerang, jadi ia sesuatu yang lebih baik buat kami," katanya.