Satu slot final sudah di dalam genggaman skuad negara apabila tiga wakil perseorangan wanita menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Antarabangsa Sepanyol, sebentar tadi.

Dua pusingan -- peringkat 16 dan suku akhir -- berlangsung serentak hari ini menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S. Kisona, menepati statusnya sebagai pilihan keempat dengan mengetepikan cabaran Beatriz Corrales 21-15, 21-14 di La Nucia.

Bagaimanapun, satu lagi pertarungan separuh akhir bagi kejohanan divisyen keempat itu esok bakal menemukan wakil negara, Goh Jin Wei dan Eoon Qi Xuan, selepas masing-masing turut mara.

Bekas juara dunia remaja, Jin Wei, mengambil masa 29 minit untuk menyingkirkan wakil Switzerland, Jenjira Stadelmann, 21-15, 21-12 sebelum Qi Xuan menuruti jejaknya dengan kejayaan ke atas Ania Setien, 21-10, 21-12.





Kecemerlangan turut mengiringi beregu lelaki, Loo Bing Kun-Lwi Sheng Hao, yang mengejutkan pilihan kedua dari Republik Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds, 19-21, 23-21, 21-18.

Bagaimanapun, selepas bertarung tiga set kecergasan mereka bakal diuji pencabar dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar, dalam aksi seterusnya sebentar lagi.

Rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang menundukkan Jonas Jager-Louis Kjellberg, 21-11, 21-12, sedang berdepan ujian sukar menghadapi Philip Birker-Dominik Stipsits dari Austria dalam satu lagi pertembungan suku akhir.

Beregu campuran juga tidak mengecewakan apabila mempunyai satu wakil, sekali lagi menerusi Kai Wun yang kali ini bergandingan di samping Teoh Mei Xing untuk mengetepikan pilihan keempat, Dominic Stipsits-Serena Au Yeong, 21-10, 21-17 dalam tempoh 28 minit bagi berdepan pasangan Russia, Rodion Kargev-Viktoriia Vorobeva.

Bagaimanapun, perjuangan perseorangan lelaki berkubur selepas Misbun Ramdan Misbun terkandas di peringkat 16.