Penghijrahan pemain skuad Sukan Olimpik Rio 2016 daripada skuad kebangsaan tidak membunuh semangat tonggak beregu wanita, Vivian Hoo, untuk akur dengan peralihan era bakat muda yang diperkenalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Vivian paling terkesan apabila gandingan yang sinonim dengan kerjayanya, Woon Khe Wei, mengumumkan persaraannya bulan lalu susulan siri kecederaan serius.

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menyusul sebelum beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh-V Shem, turut memilih untuk bergerak secara profesional.

Ini bermakna dalam kalangan skuad temasya Rio 2016, termasuk perseorangan wanita, Tee Jing Yi, yang turut bersara, hanya tinggal Vivian dan Datuk Lee Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Rasa agak janggal sebab selain Chong Wei, hanya saya sebagai pemain senior di sini.

"Ini pilihan terbaik yang BAM ada, ia tidak banyak menjejaskan saya kerana saya hanya fokus kepada sasaran sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Vivian menegaskan keserasian dia bersama Yap Cheng Wen berupaya mencapai tahap sama seperti mana yang pernah menyaksikan dia bergelar beregu nombor satu wanita Malaysia di samping Khe Wei.

Ujian pertama mereka musim ini adalah di laman sendiri menerusi aksi Kejohanan Malaysia Masters, bermula dengan halangan wakil Indonesia, Agatha Imanuela-Siti Ramadhanti.

"Gandingan kami belum sempurna. Memang ada sedikit kelainan ketika berpasangan dengan Cheng Wen berbanding Khe Wei biarpun kedua-duanya adalah kidal.

"Kami perlu mengurangkan kesilapan dan terus mempamerkan peningkatan.

"Saya harap kami dapat melakukannya sebelum Mei depan untuk sekurang-kurangnya memberi cabaran kepada beregu berkualiti," tambahnya.