Baru sahaja memasuki tahun baru, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus menerima tamparan besar apabila beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mengundurkan diri daripada bernaung di bawah badan induk itu.

Selepas 11 tahun berkhidmat dengan skuad negara, V Shem-Wee Kiong akhirnya mengambil keputusan drastik untuk keluar daripada BAM berkuatkuasa Sabtu ini.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengejutkan memandangkan V Shem-Wee Kiong sudah beberapa kali diberikan amaran oleh BAM ekoran penurunan prestasi mendadak sejak meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Kejuaraan terakhir yang diraih mereka adalah ketika beraksi dalam Kejohanan Siri Super Final di Dubai pada Disember 2016.

Jelas, ia merupakan tamparan hebat buat kem badminton negara yang baru sahaja kehilangan beregu campuran utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

BAM, dalam satu kenyataan hari ini yang mengesahkan pengunduran pasangan itu, berkata keputusan berkenaan dicapai selepas perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh.

“BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 ini kerana berkongsi nilai-nilai, prinsip dan falsafah persatuan sepanjang tempoh 17 tahun mereka bersama pasukan kebangsaan.

“BAM ingin mengucapkan selamat maju jaya buat bekas pasangan no. 1 dunia ini dalam fasa berikut dalam kerjaya gemilang mereka,” kata kenyataan tiga perenggan itu.