Pengunduran mengejut beregu utama lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, dari kem negara pada hari pertama 2019 membangkitkan spekulasi terhadap situasi yang membawa kepada keputusan mereka.

Langkah drastik yang diambil V Shem dan Wee Kiong boleh dianggap sebagai kemuncak setelah satu persatu pemain angkat kaki daripada badan induk itu.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Woon Khe Wei, Soong Fie Choo, Tee Jing Yee serta beregu campuran utama, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, adalah antara pemain yang meninggalkan kem kebangsaan pada 2018.

V Shem pula ketika ditembual enggan mendedahkan punca utama pengundurannya bersama Wee Kiong, namun menyifatkan ia adalah situasi "menang menang" untuk kedua-dua pihak di antara mereka dan badan induk itu.

Selepas berjaya merangkul pingat perak Sukan Olimpik Rio dan juara Siri Super Final 2016, V Shem dan Wee Kiong kemarau gelaran selama dua tahun sehingga pernah dipisahkan seketika.

"Ia merupakan keputusan menang-menang buat kedua-dua pihak. Beraksi sebagai pemain profesional tetap memiliki sasaran yang sama, iaitu memberikan yang terbaik untuk negara," kata V Shem.

Ini bermakna mereka akan bertandang ke Masters Thailand, 8 Januari ini, sebagai pemain profesional biarpun diletakkan sebagai pilihan utama.