Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, memberi bayangan mungkin akan ada kejutan dalam senarai nama pemain ke Piala Thomas/Piala Uber di Aarhus, Denmark, bulan depan.

Sebelum ini diwar-warkan 100 peratus kudrat pemain yang bernaung dalam badan induk itu akan digunakan, sekali gus bakal menyaksikan senarai skuad muda untuk menggalas cabaran edisi kali ini.

BAM akan mengumumkan senarai itu esok selepas selesai membuat penilaian pemain menerusi saingan ranking dalaman yang sedang dijalankan.

"Kami sudah menamatkan satu kitaran Sukan Olimpik. Kami perlu bermula sekarang untuk kitaran baru temasya di Paris pada 2024 kelak.

"Pertandingan-pertandingan utama kelak akan mencabar mental dan keupayaan untuk mengendalikan tekanan di tahap tertinggi.

"Ini satu pelantar yang cukup penting untuk membina pemain bagi generasi akan datang. Sebab itu kami perlu ketengahkan mereka dalam kejohanan ini demi masa depan.

"Kami mempunyai niat tapi ia terpulang kepada bagaimana program dijalankan," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.