Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yakin tidak mustahil dirinya mampu berada di kelompok 30 terbaik dunia dalam tempoh setahun setelah membuktikan dirinya bukan penumpang dalam skuad negara.

Anak jati Johor itu juga hampir menyelamatkan maruah Malaysia ketika aksi suku akhir Piala Thomas dan hampir membuat kejutan ke atas pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie.

"Saya berasakan pelan latihan berada di tahap terbaik dan berharap dengan lebih banyak kejohanan selepas ini dapat memperbaiki ranking dunia saya," kata Tze Yong.

Ketika ini, Malaysia hanya ada satu wakil sahaja dalam kelompok 30 dunia iaitu, Lee Zii Jia.

Ranking paling hampir dengan juara Seluruh England itu pula merupakan pemain senior, Liew Daren yang berada di tangga ke-35 dunia.

"Suasana dan tekanan di Aarhus ini amat berbeza ditambah pula dalam saingan Piala Thomas. Ini merupakan satu pengalaman baru bertemu lawan dalam kelompok 10 terbaik dunia."