Tokyo 2020: Zach LaVine tidak dapat sertai penerbangan pasukan AS kerana protokol kesihatan

Muzaffar Musa
Julai 20, 2021 06:13 MYT
Pasukan bola keranjang Amerika Syarikat (AS) berlepas ke Tokyo hari ini tanpa Zach LaVine tetapi guard Chicago Bulls itu masih belum digugurkan daripada Sukan Olimpik.
USA Basketball mengumumkan bahawa LaVine kini berada dalam protokol kesihatan dan keselamatan dan tidak dibenarkan untuk ke luar negara bersama pasukannya tetapi diharapkan dapat menyertai mereka pada hujung minggu ini.
Pemenang pingat emas dalam kesemua tiga edisi lalu, AS, melakukan perubahan minggu lalu dengan memasukkan JaVale McGee dan Keldon Johnson bagi menggantikan Kevin Love dan Bradley Beal dalam senarai ke Tokyo.
Love menarik diri kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis manakala Beal pula digugurkan kerana protokol kesihatan dan keselamatan.
Bagaimanapun, ketua jurulatih, Gregg Popovich, masih berharap LaVine akan dapat menyertai pasukannya menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan A menentang Perancis di Saitama hujung minggu ini.
#Chicago Bulls #NBA #Amerika Syarikat #Bola Keranjang #Sukan Olimpik Tokyo 2020