Bermacam-macam cara dan pendekatan digunakan atlet bagi membangkitkan semangat dan motivasi mereka untuk mendapatlam prestasi terbaik, khususnya dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Beregu lelaki badminton negara, Soh Wooi Yik, memilih untuk tampil dengan fesyen rambut baru dalam perjuangannya untuk menterjemahkan harapan pingat seluruh peminat sukan negara.

Wooi Yik tampil di Tokyo dengan potongan rambut baru yang berwarna keemas-emasan, namun dia memiliki alasan tersendiri dalam melakukan perkara itu.

"Kalau tentang rambut ini, ia untuk memberikan saya tuah," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Kerana setiap kali beraksi dalam kejohanan besar seperti Seluruh England sebelum ini, saya akan mewarnakan rambut saya dengan warna emas.

"Jadi, saya harap akan mendapatkan pingat emas," katanya.

Biarpun hanya sekadar sekecil-kecil perbuatan, ia amat diperlukan bagi memacu motivasi pemain itu, apatah lagi untuk beraksi di pentas tertinggi Sukan Olimpik.

Wooi Yik dan gandingannya, Aaron Chia, akan memulakan misi mereka dengan menentang wakil Korea Selatan, Seo Seung-jae- Choi Sol-gyu, dalam pusingan pertama Sabtu ini.

"Kami pernah bertemu mereka baru-baru ini, jadi kami faham strategi yang diperlukan untuk menentang mereka.

"Kami juga sudah mengkaji permainan mereka sejak minggu lalu dan saya rasa ia 50-50 dan bergantung kepada aksi di atas gelanggang pada hari itu.

"Saya harap saya dan Aaron dapat berkomunikasi dengan baik di atas gelanggang," katanya lagi.