Tokyo 2020: Wee Kiong tinggalkan pesanan berguna buat Aaron

Shaiful Shamsudin
Ogos 1, 2021 12:29 MYT
Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Tan Wee Kiong, menyifatkan kejayaan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, malam tadi sebagai dorongan dalam karier mereka.
"Kejayaan ini belum tentu buat mereka, kadang-kadang boleh jadi senang (dalam laluan ke puncak) mahupun boleh jadi lebih sukar tapi kalau mereka teruskan semangat seperti ini, apa jua boleh berlaku," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Wee Kiong berkongsi keterujaannya terhadap kejayaan gandingan itu memenangi gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta faktor utama kemenangan beregu nombor lapan dunia tersebut.
"Tahniah buat mereka. Ia satu kemenangan yang menggembirakan Malaysia.
"Mereka bermain bagus walaupun dalam set pertama fikiran mereka agak berkecamuk.
"Tapi dalam set kedua hingga akhir mereka telah tunjukan satu persembahan yang bagus daripada segi strategi dan semangat.
"Mereka menunjukkan sikap yang tidak mudah mengalahkan walaupun suatu ketika ketinggalan.
"Ini titik tolak kebangkitan mereka. Saya harap mereka dapat kekalkan momentum untuk terus berjuang," katanya lagi.
Dalam masa sama, Ahsan-Hendra akur tewas kepada Aaron-Wooi Yik menerusi pertembungan tiga set.
Sebelum ini Ahsan-Hendra mendahului rekod pertemuan 7-1 termasuk kemenangan di peringkat kumpulan.
Ahsan-Hendra yang merampas set pertama 21-17 dan mendahului set kedua 11-7 bagaimanapun tunduk di sebalik tekanan tewas dua set berikutnya 21-17, 21-14.
Justeru, mereka akur Aaron-Wooi Yik kini dalam kalangan terbaik dunia.
#badminton #Sukan Olimpik #Tokyo 2020 #Beregu lelaki