Perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia, sedar dia kini bersaing dengan pemain elit dunia dan penyertaan pertamanya dalam Sukan Olimpik menawarkan pengajaran berguna buatnya.

Pengembaraan pemain berumur 23 tahun itu berakhir dalam pusingan 16, Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas ditewaskan jaguh China merangkap juara bertahan, Chen Long, kelmarin yang bijak mencaturkan permainan bagi memerangkapnya.

"Selepas (kejayaan) Seluruh England, sudah tentu sasaran dalam Olimpik akan menjadi lebih tinggi, saya rasa ini adalah normal.

"Tidak mungkin selepas menang Seluruh England saya mahu sasarkan pusingan pertama atau kedua sahaja.

"Memang masa itu tekanan tinggi terhadap saya. Ini satu pengajaran yang perlu saya belajar sebab tanpa tekanan, saya tidak akan menjadi seorang yang (lebih) matang," katanya.




Zii Jia juga mendedahkan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, sempat menitipkan kata-kata semangat buatnya agar lebih gigih untuk mempersiapkan diri muncul sebagai pencabar yang lebih jitu pada masa depan.

"Sebaik kalah kepada Chen Long, dia (Chong Wei) ada telefon saya. Banyak yang diperkatakannya tentang Sukan Olimpik, antaranya ialah ini adalah penyertaan temasya pertama buat saya.

"Dia cakap jangan kecewa sangat. Setiap orang ada cerita berbeza. Dia juga cakap sekurang-kurangnya persembahan saya tidaklah teruk sangat.

"Saya dipesan agar perlu berlatih lagi kerana akan ada banyak kejohanan lagi untuk disertai jadi dia tuntut saya kembali fokus."